8 Sep 2026 |Media Coverage

Selangor yakin capai RM100 bilion pelaburan - Amirudin


SEPANG: Selangor yakin nilai pelaburan direkodkan tahun ini berpotensi mencatat rekod baharu melebihi RM100 bilion, sekali gus melepasi sasaran RM80 bilion berdasarkan trend prestasi sehingga pertengahan 2026.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata nilai pelaburan direkodkan sehingga pertengahan tahun ini mencecah kira-kira RM70 bilion, menunjukkan perkembangan positif berbanding sasaran ditetapkan.

"Kita letak sasaran RM80 bilion sebagaimana pencapaian 2025 tetapi sehingga pertengahan 2026 sudah capai RM70 bilion.

"Kita sangat percaya akan dapat melepasi sasaran RM80 bilion dan yakin boleh mencipta rekod lebih RM100 bilion," katanya kepada pemberita ketika hadir di NCT Smart Industrial Park, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, prestasi pelaburan itu banyak bergantung kepada perkembangan ekonomi dan keadaan dunia yang berubah pantas termasuk isu berkaitan rantaian bekalan serta bencana banjir.

Katanya, kerajaan negeri akan terus mempergiat misi perdagangan dan pelaburan ke luar negara bagi menarik lebih banyak pelaburan selain membuka peluang pasaran baharu kepada syarikat tempatan.

"Sebahagian besar daripada pelaburan itu bukan hanya mereka datang ke sini, tetapi kita berusaha ke luar negara.

"Pada September ini kita akan ke Perancis, Berlin dan sebelum ini kita sudah ke Asia Tenggara, Korea dan pasaran-pasaran lain," katanya.

Beliau berkata, pendekatan berterusan dan konsisten menerusi misi perdagangan serta pelaburan itu membolehkan Selangor mengekalkan momentum kemasukan pelaburan.

Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin berkata pembangunan kawasan perindustrian baharu serta peningkatan jaringan pengangkutan dijangka terus merancakkan aktiviti ekonomi dan pelaburan, khususnya di Selangor.

Katanya, antara projek yang dijangka memberi kesan positif termasuk pembangunan kawasan perindustrian di Bukit Raja, Klang dan beberapa kawasan lain, selain pembukaan laluan baharu.

"Sekiranya ECRL beroperasi mengikut jadual pada akhir tahun ini dan sebagainya, ia akan lebih rancak.

"Di sini pula, sekiranya jalan raya seluruhnya siap, kita ada kira-kira tujuh hingga lapan kilometer yang akan digunakan dan pada akhirnya akan sampai ke Tanjung 12," katanya.

 

Source: Berita Harian

Continue Reading

Media Image
8 Sep 2026

NCT Alliance launches RM2.5b second phase of NCT Smart Industrial Park in Sepang

Media Image
8 Sep 2026

NCT Alliance marks NSIP milestone with Phase 1 handover, KM2 launch