8 Sep 2026 |Media Coverage

NSIP Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi Selatan Selangor


KUALA LANGAT, 8 Sept (MalaysiaAktif) – NCT Smart Industrial Park (NSIP) melakar satu lagi pencapaian penting menerusi penyerahan milikan kosong bagi unit-unit yang siap dibangunkan dalam Fasa 1, selain pelancaran pembangunan Fasa 2.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkembangan itu membuktikan visi untuk mewujudkan sebuah taman perindustrian moden, pintar dan bertaraf dunia semakin menjadi kenyataan sejak NSIP dilancarkan pada 2023.

“NSIP merupakan Taman Perindustrian Terurus atau ‘Managed Industrial Park’ yang pertama seumpamanya di Malaysia dan menjadi projek pertama di bawah Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) yang mencapai peringkat penyerahan milikan kosong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyerahan Milikan Kosong Fasa 1 dan Pelancaran Fasa 2 NSIP di Jalan Langat Lestari, di sini hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut menyaksikan penyerahan Projek Penyiapan Baki Kerja Jalan Langat Lestari sepanjang lapan kilometer bernilai RM19.6 juta.

Projek berkenaan melibatkan kerja pelebaran jalan serta menaik taraf persimpangan Jalan Persekutuan FT32 dan berjaya disiapkan tujuh hari lebih awal daripada jadual.

Menurut Amirudin, sebagai projek sulung IDRISS, pembangunan NSIP bukan sekadar menyediakan kawasan perindustrian, malah berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan sosioekonomi di daerah Kuala Langat, Sepang dan seluruh wilayah selatan Selangor.

“Pembangunan ini diyakini mampu menarik pelaburan berkualiti dan industri berteknologi tinggi, di samping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“NSIP juga diharapkan terus berkembang sebagai penanda aras baharu pembangunan industri yang berdaya saing, mampan dan bersedia menghadapi masa hadapan, sekali gus membawa kemakmuran lebih besar kepada rakyat Selangor,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada NCT Alliance Berhad serta semua jabatan, agensi dan rakan strategik yang terlibat dalam menjayakan pembangunan berkenaan.

 

Source: Malaysia Aktif

Continue Reading

Media Image
8 Sep 2026

NCT Alliance launches RM2.5b second phase of NCT Smart Industrial Park in Sepang

Media Image
8 Sep 2026

NCT Alliance marks NSIP milestone with Phase 1 handover, KM2 launch